Like me!
Ceria terima diploma sebelum temui ajal
REMBAU: “Keceriaan luar biasa ditunjukkannya ibarat memberi petanda arwah akan pergi meninggalkan kami sekeluarga buat selama-lamanya,” kata Mariam Yusof, 54, ibu pelajar Politeknik Port Dickson, Maria Idris, 21, yang terbabit dalam kemalangan maut hanya beberapa jam selepas menerima Diploma Perakaunan di Jalan Linggi-Rantau di sini, kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 petang, kereta dipandu Maria bertembung sebuah kenderaan lain yang datang dari arah bertentangan.
Bagaimanapun, mangsa yang juga anak kembar pasangan itu disahkan meninggal dunia kira-kira jam 8.45 malam di Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) kerana parah.
Mariam berkata, arwah sangat ceria berbanding sebelum ini ketika menunggu saat-saat untuk menerima segulung diploma selepas tiga tahun bertungkus-lumus dalam bidang pelajaran.
“Saya tidak sangka perubahan sikap yang ditunjukkan itu membawa petanda buruk dan kami sekeluarga menganggap kejadian itu sebagai suratan takdir.
“Selain berjaya dalam akademik, arwah seorang anak yang aktif dalam bidang kokurikulum,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Anak Air Kundur, Pedas, dekat sini, semalam.
Menurutnya, arwah sudah bekerja sebagai akauntan di sebuah syarikat swasta di Batu Caves, Selangor, sejak tahun lalu.
Menceritakan detik terakhir bersama anaknya, Mariam berkata, arwah sangat ceria pada pagi kelmarin sebelum berangkat ke politeknik untuk menghadiri majlis konvokesyennya.
“Pagi (kelmarin) itu, arwah bangun awal dan ingin segera pergi ke sana bersama seorang rakannya yang tidur di rumah saya untuk menerima diploma.
“Sebelum ke sana, arwah sempat memakai jubah dan bergambar di rumah bersama rakannya dan pergi ke Port Dickson dengan memandu kereta abangnya,” katanya.
Mariam berkata, dia dan suaminya Idris Husin, 62, serta beberapa ahli keluarga lain pergi berasingan ke politeknik berkenaan untuk menghadiri majlis konvokesyen anak kesembilannya daripada 10 beradik.
Katanya, arwah sangat ceria selepas menerima diploma dan sempat bergambar kenangan bersama sebelum mereka pulang ke rumah.
“Arwah meminta untuk pulang lewat sikit kerana ingin menemui rakannya yang sudah lama terpisah selain meraikan kejayaan itu.
“Saya dan suami serta ahli keluarga yang lain pulang ke rumah dan tidak mengesyaki sesuatu yang buruk bakal menimpa,” katanya.
Mariam berkata, dia hanya mengetahui berita sedih itu selepas dihubungi rakan seorang anaknya lalu bergegas ke lokasi kemalangan, tetapi anaknya itu sudah pun dibawa ke HTJ.
Jenazah dikebumikan di tanah perkuburan Islam Batu 1, Kampung Pedas Tengah, Pedas, dekat di sini, selepas solat Zuhur.
Sementara itu, Pegawai Turus Trafik Negeri Sembilan, Asisten Superintendan Abd Halil Hamzah, yang dihubungi mengesahkan kejadian itu.
Menurutnya, polis masih menjalankan siasatan lanjut dan siasatan akan dilakukan dari segenap aspek.