Like me!

Bukan kerja mudah tutup IPTA kekang penularan wabak

KUALA TERENGGANU 14 Ogos - Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) tidak akan mengambil jalan mudah menutup institusi pengajian tinggi awam (IPTA) bagi mengekang penularan selesema babi atau influenza A (H1N1) yang semakin serius.

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, walaupun ia salah satu daripada beberapa pilihan yang wajar diambil, namun beliau percaya 'bukan kerja mudah' untuk berbuat demikian.

Melainkan katanya, kementerian sudah mendapat arahan berdasarkan garis panduan tertentu daripada Kementerian Kesihatan berhubung perkara itu.

''Hubungan antara Kementerian Pengajian Tinggi dan Kementerian Kesihatan memang sentiasa rapat dan pelbagai usaha dilakukan berasaskan garis panduan yang ditetapkan untuk menangani H1N1.

''Penutupan universiti kita (IPTA) adalah satu daripada pelbagai pilihan. Kita tak mahu ambil jalan mudah untuk tutup universiti-universiti ini,'' katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan rasmi ke Universiti Malaysia Terengganu (UMT) di sini hari ini.

Hadir sama Naib Canselor UMT, Prof. Dr. Aziz Deraman.

Beliau diminta mengulas tindakan kementerian dalam menangani penularan wabak H1N1 yang semakin serius melanda negara sekarang termasuk di institusi-institusi pengajian tinggi.

Khaled juga memberi jaminan bahawa penularan wabak H1N1 di IPTA setakat ini terkawal kerana pelbagai langkah pencegahan telah dilakukan.

Menurutnya, paling mustahak setiap warga kampus perlu mempunyai kesedaran dan melaksanakan tanggungjawab masing-masing bagi mencegah wabak tersebut daripada merebak.

Pada masa sama jelasnya, pihak pentadbiran universiti juga perlu sentiasa memantau pelajarnya dan jika ada yang mempunyai simptom penyakit itu, mereka dinasihati segera mendapatkan rawatan.

''Kita harap universiti sentiasa pastikan setiap pelajar yang ada simptom dan sakit walaupun sedikit, kena cepat-cepat jumpa doktor, jangan tunggu lagi,'' ujarnya.







Category:  
You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0 feed. You can leave a response.